Muhammad Mustakim Ramli
PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menyatakan sokongan padu terhadap pelbagai cadangan oleh Kementerian Kewangan untuk memperkasakan lagi sektor pengangkutan awam negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya gembira atas keputusan kerajaan untuk melanjutkan inisiatif perjalanan tanpa had My30 untuk perkhidmatan Rapid KL.
Katanya, Prasarana menyokong penuh cadangan untuk meluaskan pelaksanaannya ke rangkaian bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
“Pemanjangan pas perjalanan My30; dan membawanya ke Rapid Penang dan Rapid Kuantan menyerlah kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.
“Tentunya, kami menyambut baik inisiatif-inisiatif kerajaan untuk memperkasa sektor pengangkutan awam ini khususnya dalam meneruskan inisiatif My30 dan memanjangkannya ke Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
“Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan akan memperhalusi butiran sebelum memberi ‘lampu hijau’ untuk Prasarana laksanakan. Di pihak Prasarana, kami akan melaksanakannya seberapa segera,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Diperkenalkan untuk penggunaan tanpa had rangkaian pengangkutan rel urban dan bas Rapid KL pada 15 Jun tahun ini, pakej perjalanan My30, yang dibuka eksklusif untuk warga Malaysia, mempunyai secara purata 120,000 pengguna sebulan.
Dengan berbelanja hanya RM30 sebulan, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT), bas perantara Jom Naik MRT dan bas henti-henti Rapid KL tanpa had untuk tempoh 30 hari.
Sementara itu, Tajuddin berkata, dengan pengenalan pakej My30, tentunya ia akan membantu meringankan beban perbelanjaan pengangkutan awam untuk penduduk di Pulau Pinang dan Kuantan.
Katanya, dengan langkah itu pihaknya menjangka peningkatan jumlah penumpang, di mana Covid-19 menyebabkan Rapid Penang yang mencatat purata 72,000 penumpang sehari, kini hanya 36,000 penumpang sehari.
“Rapid Kuantan pula mencatat secara purata 3,300 penumpang sehari berbanding 7,000 penumpang pada tahun lalu.
“Prasarana turut menyokong penuh Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti, yang akan diperluaskan ke negeri-negeri dan bandar-bandar bagi meluaskan jaringan pengangkutan awam bas mulai tahun depan.
“Inisiatif ini seiring aspirasi kerajaan untuk meningkatkan perkongsian saiz penggunaan (modal share) pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelas 2030,” katanya.
Beliau juga berkata, Prasarana menyambut baik komitmen kerajaan dalam pembangunan infrastruktur rel; khususnya Sistem Transit Rapid Johor Bahru ke Woodland, projek High Speed Rail dan MRT3.
“Ia akan memberi impak secara langsung kepada jaringan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana,” katanya. – Malaysiapost

