Kakitangan Rapid KL jadi ‘bidan terjun’ di Stesen LRT Puchong Prima

0
2

KAKITANGAN Rapid KL Laluan Sri Petaling, Shahira Nurdiyana Rauf bersama rakan sekerja melalui detik cemas dan terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran bayi di Stesen LRT Puchong Prima, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, wanita berusia 32 tahun itu sedang berehat, sebelum terdengar jeritan daripada rakan sekerja meminta bantuan.

Berdasarkan perkongsian di Facebook Warna Prasarana, Prasarana memaklumkan wanita berusia 36 tahun mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan bayi berhampiran kaunter tiket.

“Melihat keadaan tersebut, kakitangan stesen dengan dibantu penyelia pembersihan membawa wanita terbabit ke bilik rawatan yang terdapat di stesen.

“Ketika menanti pasukan perubatan tiba, wanita terbabit telah selamat melahirkan bayi lelaki dengan dibantu kakitangan operasi Rapid KL yang bertindak sebagai bidan terjun.

“Wanita dan bayi tersebut dibawa dengan ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan,” kata kenyataan itu.

Shahira Nurdiyana yang baru memulakan tugas setelah cuti berpantang anak kedua rasa bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan dalam keadaan sihat.

Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantu beliau mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi itu.

Beliau yang pada mulanya berdebar melalui situasi cemas itu, bagaimanapun menguatkan hati dan sedaya mungkin memberi pertolongan kepada wanita terbabit.

Tindakan Shahira mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana dan diraikan dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA Bangsar.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Hajjah Norlia Noah menyampaikan saguhati kepada Shahira atas tanda terima kasih syarikat.

Norlia juga memuji keberanian dan kebolehan beliau mengendalikan situasi cemas itu selain menyeru semua kakitangan mencontohinya dan sentiasa bersedia membantu pelanggan yang memerlukan pertolongan.

Semua kakitangan barisan hadapan Prasarana mempunyai latihan dalam mengendalikan kes kecemasan dan bantuan perubatan asas yang termaktub dalam kursus wajib lulus.

Walaupun skop bidan ini bukan teras petugas barisan hadapan kakitangan rel operasi, namun pengetahuan asas pertolongan cemas yang dimiliki dapat membantu pengguna yang memerlukan bantuan. – Malaysipost