TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Belanjawan 2021 sangat ‘mengagumkan’ kerana ia belanjawan terbesar iaitu kerajaan akan membelanjakan keseluruhan RM322.5 bilion untuk operasi dan pembangunan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kerajaan seolah-olah akan memasukkan wang ke dalam poket semua orang, sama ada kaya dan miskin, bekerja dan menganggur.
“Soalan yang ingin saya ajukan dari mana wang itu datang. Defisit tersebut dikatakan sekitar RM85 bilion. Ia lebih besar daripada anggaran pembangunan RM69 bilion.
“Kita tahu wabak Covid-19 telah memberi kesan buruk kepada ekonomi. Walaupun industri sarung tangan telah berjalan dengan baik tetapi Petronas dan pelancongan, dua penyumbang terbesar pendapatan kerajaan, telah menghasilkan prestasi sangat buruk.
“Semua industri lain juga sangat teruk. Saya rasa pendapatan dan cukai korporat tidak akan sama dengan 2/3 daripada angka biasa pada waktu biasa,” katanya menerusi catatan di blognya chedet.cc.
Sambil menyatakan beliau tidak perlu ‘dirasuah’ untuk menyokong Belanjawan 2021, bekas Perdana Menteri itu menggesa kerajaan mengubah suai cadangan belanjawan supaya lebih realistik memandangkan jangkaan pemulihan terlalu optimistik.
“Kenyataannya ramai orang tidak gembira. Ini ditunjukkan pada reaksi mereka. Saya berharap belanjawan akan diubah suai untuk menjadikannya lebih realistik. Kami akan menyokongnya.
“Kami tidak perlu diberi rasuah supaya menyokong. Kami tidak mahu menimbulkan krisis,” katanya.
Beliau berkata, masih terdapat ruang untuk mengurangkan kos operasi dan pembangunan dalam belanjawan, dengan menyatakan menteri dan Ahli Parlimen diberi pelbagai elaun.
Katanya, golongan miskin terkesan teruk oleh pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan.
Berikutan itu, beliau mencadangkan kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta melepaskan 10 peratus daripada gaji bulanan mereka.
Ia, katanya, boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan barang keperluan kepada mereka yang tidak bekerja atau tiada pendapatan.
“Shafie Apdal (bekas ketua menteri Sabah) mencadangkan potongan gaji menteri sebanyak 30 peratus. Itu jumlah yang besar. Saya fikir kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta harus melepaskan 10 peratus daripada gaji mereka.
“Ia pengorbanan dan saya tidak fikir mereka akan tergugat jika ada had potongan yang munasabah, katakan RM20,000 sebulan,” katanya lagi. – Malaysiapost

