Cabar kuasa Agong: Polis ambil keterangan TNC UM hari ini

0
3

POLIS mengambil keterangan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM), Professor Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman hari ini, bagi membantu siasatan kenyataan pelajar universiti itu yang didakwa mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Difahamkan, pasukan penyiasat polis telah ke Universiti Malaya (UM) untuk bertemu Abdul Aziz.

“Kita ada sesi perjumpaan dan rakam keterangan daripada TNC UM Prof Dr Abdul Aziz jam 3 petang pada 9 November (hari ini) selepas selesai sesi ambil keterangan AJK persatuan itu di sebelah tengahari di IPD Kajang,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette, hari ini.

Pagi tadi, enam Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengenai kenyataan Presiden persatuan itu, Yap Wei Qin mencabar kuasa YDPA.

Sumber itu memberitahu, enam individu terbabit telah selesai memberi keterangan dengan masing-masing diwakili peguam manakala tujuh individu akan dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sehingga kini, 70 laporan polis diterima ke atas UMANY bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan bertindak tegas dalam perkara itu. -Malaysiapost