Bekas menteri cadang KPM wujud semula saluran khusus pendidikan

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) disaran mewujudkan semula saluran-saluran khusus pendidikan di semua rangkaian televisyen percuma dan berbayar.

Ia susulan sesi persekolahan yang kini fokus kepada ‘Home Based Learning’, kata bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata sebagai contoh saluran subjek Matematik boleh disediakan untuk pra sekolah, rendah dan menengah.

“Begitu juga dengan subjek-subjek utama yang lain untuk pelbagai peringkat.

“Semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh boleh berbincang dan berunding untuk menjayakan cadangan ini. Sesungguhnya pendidikan adalah satu pelaburan negara,” katanya.

Terdahulu hari ini, semua sekolah di seluruh negara termasuk Kolej Vokasional di bawah KementerKPM) ditutup bermula esok sehingga hari akhir persekolahan 2020, selaras pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata keputusan penutupan sekolah itu turut merangkumi Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Katanya, penutupan sekolah sehingga 17 dan 18 Disember itu adalah sebagai langkah membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19. – Malaysiapost