Cukai rokok elektronik masih dalam semakan KKM, AGC

0
2

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat perincian lanjut sebelum membuat penambahan di bawah Akta Racun 1952 berkaitan dengan kawalan tembakau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Akta Racun 1952 tersebut masih dalam semakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC)

“Tanpa Akta itu (Akta Racun 1952) cecair rokok elektronik selain yang mengandungi nikotin sukar dikawal dan penilaian cukai juga sukar dilaksanakan.

“Agak baru bagi kawalan tembakau perlu disiapkan segera dan dibentangkan.

“Yang penting adalah tindakan kawalan nikotin. Bagaimana kita oleh laksanakan percukaian itu kita kena perhalusi,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau bertentangan di bawah Akta Racun 1952.

Terdahulu, kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan semalam berkata cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter.

Katanya, mulai 1 Januari 2021 juga, kerajaan juga akan mengenakan langkah membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, mengetatkan pembaharuan lesen import rokok dan mengehadkan aktiviti penghantaran rokok kepada pelabuhan tertentu. – Malaysiapost