Wanita tak pulang selepas berniaga, ditemui mati disyaki dibunuh

0
2

TANDA tanya berhubung kehilangan seorang wanita yang tidak pulang ke rumah selepas berniaga semalam, terjawab selepas mayatnya ditemui dalam semak di kawasan perumahan di Yong Peng, Johor, hari ini.

Mayat wanita berumur 40-an itu ditemui penduduk yang melalui kawasan tersebut jam 8 pagi tadi sebelum menghubungi polis, lapor Harian Metro.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis termasuk Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dihantar ke lokasi mayat mangsa ditemui untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kes itu mempunyai unsur jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam tular di media sosial seorang wanita tidak pulang ke rumah selepas berniaga pada jam 8.30 malam.

Terdapat juga mesej bergambar yang tersebar mendakwa individu yang terbabit dalam kegiatan pembunuhan tersebut, namun belum dapat dipastikan kesahihannya. -Malaysiapost