PKPB: Pemeriksaan lebih ketat, SJR ditambah – KPN

0
2
hamid bador

POLIS akan memperketatkan pemeriksaan dengan menambah lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR), berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata langkah itu bagi memastikan orang ramai tidak membuat sebarang pergerakan tidak penting termasuk merentas daerah dan negeri.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan penuh ke atas semua elemen pergerakan keluar dan masuk antara daerah dan negeri membabitkan semua negeri yang terbabit dalam PKPB.

“Tindakan kita menambah SJR bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi adalah untuk membantu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkorban dan bersusah-payah memastikan pandemik Covid-19 tidak tersebar.

“Justeru, untuk tempoh empat minggu bermula Isnin ini (9 November) saya benar-benar merayu orang ramai untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Hamid berkata, masyarakat boleh membantu apabila mereka mempunyai sikap tanggungjawab termasuk mematuhi SOP ditetapkan serta tidak membuat pergerakan yang tidak perlu.

“Jadi sekali lagi saya tekankan supaya hanya mereka yang mempunyai kelulusan dari pihak polis serta mempunyai sebab-sebab kecemasan sahaja yang membuat perjalanan rentas daerah atau rentas negeri dan jika tiada keperluan penting duduklah di rumah,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa pihaknya mempunyai kekuatan mencukupi untuk pelaksanaan PKPB ini berikutan pengalaman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dianggap lebih ketat sejak 18 Mac lalu.

“Jangan pula marah polis apabila ada kesesakan panjang disebabkan SJR, langkah ini adalah demi kebaikan bersama bagi mematahkan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, memaklumkan perlaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berkuatkuasa 9 November sehingga 6 Disember.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB ini membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di samping untuk mengekang penularan Covid-19. -Malaysiapost