Bapa Surya maafkan suspek

0
1

BAPA Siti Nur Surya, Ismail Muda terbuka untuk memaafkan keluarga remaja perempuan yang didakwa membunuh anaknya.

Katanya, tidak ada sesiapa yang inginkan kejadian seperti itu berlaku dan menyifatkan ia adalah ketentuan Allah walaupun perit untuk menerimanya.

“Kalau dia (keluarga suspek) datang kita terima, kita tak halau orang datang mintak maaf.

“Walau marah dan kecewa sekali pun dengan perbuatan anaknya, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kejadian sudah berlaku,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ismail berkata, hingga kini tidak ada pihak yang datang menemui keluarganya untuk tujuan itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa menunggu kedatangan keluarga berkenaan untuk memohon maaf bagi pihak anak mereka.

Dalam kejadian 2.30 petang Ahad lalu, Siti Surya,19 ditemui adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan di ruang tamu di rumah mereka di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 19 tahun yang juga rakan mangsa untuk membantu siasatan.

Suspek yang masih belajar di Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.-Malaysiapost