AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menimbulkan pertanyaan sama ada rakyat bersetuju atau tidak mengenai pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 sebulan.
Beliau berkata, ia kerana bukan semua pencarum layak membuat pengeluaran itu seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Tetapi, dari 14 juta jumlah keseluruhan pencarum, hanya 600,000 ahli yang dapat keluarkan wang caruman ini.
“Hanya bagi yang hilang kerja.
“Apa kata anda semua? Setuju atau tidak hanya sejumlah 600,000 dari 14 juta pencarum dapat menikmati pengeluaran Akaun 1 KWSP ini?,” katanya.
Terdahulu Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang tadi, beliau berkata ia bagi membantu pencarum yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas. – Malaysiapost

