Jangan monopoli peruntukan Belanjawan 2021 – DPIA

0
1

Fitri Nizam

DEWAN Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) mahu Belanjawan 2021 tidak dimonopoli golongan tertentu, sebaliknya usaha memperkasa perniagaan Bumiputera perlu dibuat secara holistik di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata peruntukan sebanyak RM4.6 bilion tidak boleh dimonopoli oleh golongan tertentu untuk mendapatkan manfaat daripadanya.

“Peluang ini iaitu dana sebanyak RM4.6 bilon untuk memperkasa golongan Bumiputera ini harus diagih sama rata.

“Kita tidak mahu hanya golongan tertentu saja yang menerimanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, agensi pelaksana TEKUN dan PUNB yang mengurus dana RM510 juta harus mengurangkan birokrasi dalam agihan kepada peniaga.

Katanya, kedua-dua agensi itu harus memudahkan urusan permohonan oleh pemohon untuk menerima dana berkenaan.

“Sebagai agensi pelaksana tidak perlu merumitkan urusan permohonan di mana kita tahu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini ramai pemohon memerlukan suntikan modal dalam kadar segera.

“Kita mahu urusan yang cekap dan pantas untuk agihan secara telus kerana masih ramai golongan peniaga yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Beliau turut mencadangkan satu laman sesawang khas diwujudkan untuk rujukan umum bagi melancarkan hubungan dua hala antara pemohon dan agensi pelaksana.

“Kita mahu ada satu platform khas untuk mereka merujuk secara efisyen dan melancarkan komunikasi dengan pemohon,” katanya. – Malaysiapost