Banyak manfaat pada penjawat awam – Cuepacs

0
1

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik Belanjawan 2021 yang disifatkan banyak memberi manfaat kepada penjawat awam, terutama isi rumah yang perlu dibantu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, biarpun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan awam, tetapi fokus yang diberikan untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan.

“Harus diingat bahawa tidak semua penjawat awam yang berpendapatan tinggi malah ada dalam kalangan mereka mempunyai pasangan yang turut sama-sama terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Fokus kerajaan terhadap golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah ini perlu dipuji kerana mereka antara rakyat yang paling terkesan ekoran pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Adnan, ia terbukti apabila kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang sangat besar untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu RM6.6 bilion yang akan memanfaatkan 8.1 juta penerima.

Katanya, berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), inisiatif BPR lebih memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat dan penjawat awam.

“Dalam hal belanjawan ini penjawat awam akan terus berpegang teguh dengan mantera ‘Berkhidmat Untuk Negara’ bagi memastikan rakyat dan negara dapat keluar daripada kemelut ekonomi,” ujarnya. – Malaysiapost