KERAJAAN diminta memberi penjelasan berkaitan peruntukan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara, khasnya ketika wabak Covid-19.
Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong menerusi kenyataan berkata beberapa persoalan masih timbul dan perlu dijelaskan oleh kerajaan iaitu:
“Yang pertama, perbelanjaan pembangunan tahun ini telah ditingkatkan daripada RM3.083 bilion ke RM4.505 bilion. Hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion ini (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebaik-baiknya kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaikpulih? Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengingatkan sekali lagi pihak kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM.
Yang kedua, walaupun kami tidak menentang peruntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan siber negara, kami ingin tahu sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber ATM.
Pada September tahun ini, ketika ucapan Hari Ulang Tahun ke-87 ATM, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang telah mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik.
Kami berharap kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya.
Yang ketiga, walaupun kami menerima baik rancangan kerajaan untuk membina 1,000 unit rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) yang baru, kami ingin tahu juga apakah usaha kerajaan untuk membaik pulih beribu unit RKAT yang tidak selamat diduduki?
Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki hampir 2000 unit RKAT. Pada 2020, peruntukkan RM150 juta telah disediakan dan sebanyak 6000 unit RKAT disasarkan untuk kerja-kerja pembaikan.
Kami berharap sementara kerajaan ingin bina unit RKAT baru, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga. Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang.” – Malaysiapost

