Kerajaan masih tak benar kemasukan pekerja asing – Ismail Sabri

0
1

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sehingga kini kerajaan masih tidak membenarkan kemasukan pekerja asing kecuali dua kategori iaitu pekerja pengurusan tertinggi syarikat dan pakar bidang tertentu.

Menurutnya, pekerja selain dua kategori tersebut termasuk dalam sektor perladangan, pertanian dan pembinaan dari luar tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

“Kebimbangan tentang kekurangan pekerja di kawasan pertanian terutama pengeluaran makanan, oleh sebab itu saya selalu bentangkan mengenai cukup atau tidak bekalan makanan.

“Dua yang saya selalu diumumkan adalah bekalan makanan di premis perniagaan dan dari segi pertanian. Sehingga hari ini saya jelaskan bekalan makanan mencukupi dan mudah diperoleh,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, tidak perlu wujud kebimbangan jika bekalan makanan tidak mencukupi kerana pekerja asing tidak dibenarkan masuk ke negara ini

Ini kerana, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan akan memastikan bekalan makanan mencukupi dan mudah didapati.

“Setakat ini keadaan masih terkawal, masih mudah diperoleh dan jaminan kerajaan bekalan makanan mencukupi,” ujarnya. – Malaysiapost