Kakitangan pejabat MB Perak positif Covid-19

0
1

SEORANG kakitangan Pejabat Menteri Besar Perak disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan kesihatan.

Pejabat Menteri Besar menerusi kenyataan berkata sebagai langkah keselamatan, proses sanitasi telah dijalankan di pejabat tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sementara pihak Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan saringan kontak rapat kakitangan tersebut, pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar telah diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Di samping memantau tahap kesihatan masing-masing sehingga arahan selanjutnya dari pihak Jabatan Kesihatan Negeri,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak berada di pejabat dalam tempoh tersebut kerana menghadiri sidang Parlimen.

“Bagaimanapun atas faktor keselamatan, beliau telah menjalani ujian saringan kesihatan semalam dan keputusan disahkan negatif Covid-19.

“Sama-sama kita doakan agar kakitangan yang telah disahkan positif Covid-19 akan segera sembuh sepenuhnya dan semua warga kerja Pejabat Menteri Besar serta seluruh rakyat dipelihara daripada ancaman wabak ini,” katanya. – Malaysiapost