KELUARGA Siti Nur Surya masih lagi trauma dan tidak mampu menjejakkan kaki ke kediaman mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong yang menjadi lokasi pembunuhan tragis gadis itu, Ahad lalu.
Bapa arwah, Ismail Muda, 58, berkata selepas kejadian ngeri menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu, mereka sekeluarga belum mendapat kekuatan untuk pulang ke kediaman dan tinggal sementara di rumah datuk arwah di Kampung Beladau Selat, Kepong di Terengganu, lapor Bernama.
“Masih terbayang di ingatan saya keadaan kakak (Siti Nur Surya) yang berlumuran darah ketika ditemui di ruang tamu rumah. Itulah yang menyebabkan saya sendiri belum mampu balik ke rumah di Telemong selepas kejadian itu.
“Hanya anak-anak lelaki sahaja berulang-alik melihat rumah dan mengambil barang keperluan seperti pakaian, namun tiada siapa sanggup bermalam di sana buat masa ini.
“Di samping itu, keadaan isteri (Zaini Musa, 55) yang terlantar sakit akibat kanser otak menyebabkan saya tidak boleh tinggalkan dia dalam tempoh yang lama.
“Sebelum ini, kalau saya pergi ke mana-mana arwah kakak yang akan jaga, tapi bila dia tiada saya terpaksa menguruskan sendiri isteri dengan bantuan anak-anak yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Ismail menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh.
Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Siti Nur Surya,19, ditemukan dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya, Nor Liyana Syuhada, 15, semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.
Susulan kejadian itu, pelajar perempuan tingkatan enam yang juga rakan sekolah arwah telah ditahan reman tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, abang arwah Muhammad Faris Akram, 23, berkata meskipun telah lima hari kejadian hitam itu berlaku, ibu mereka masih tercari-cari Siti Nur Surya walaupun beberapa kali dimaklumkan arwah telah tiada.
“Sebelum ini, arwah yang biasa menguruskan emak dan antara anak yang paling rapat dengan emak. Apabila orang lain yang mengambil alih tugas, emak akan bertanya kakak pergi ke mana? Tetapi ketika emak ingat kakak telah meninggal dunia dia akan sedih dan termenung,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah berkata pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa dan suspek yang masih trauma dengan kejadian itu. – Malaysiapost

