TIADA talian hayat buat Felda United dan UKM FC bagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan, tegas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berkata Felda dan UKM telah diberikan masa yang cukup bagi menyelesaikan penswastaan kelab bola sepak (FC).
“Kedua-dua pasukan telah diberi masa yang mencukupi. Pada hari terakhir iaitu 19 Oktober dan hari selepas itu, tiada permintaan untuk pertambahan masa dari dua pasukan.
“Pada masa ini, keputusan kekal. FAM ada menerima surat rayuan dari kedua-dua pasukan dan jawatankuasa tertentu akan membuat keputusan sama ada menerima atau tidak.
“Tetapi buat masa ini, FAM boleh menetapkan keputusan yang telah dibuat tempoh hari adalah muktamad,” katanya seperti dilapor Nadi Arena.
Sebelum ini, FAM menegaskan mengambil keputusan untuk tidak memberi kebenaran kepada Felda dan UKM beraksi di saingan Liga Malaysia musim hadapan bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021.
Perkara tersebut dilihat boleh berlaku jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim. – Malaysiapost

