DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN – Pasir Salak) memberi amaran kepada kerajaan untuk perbetulkan semula status projek perumahan generasi kedua Felcra Changkat Lada, Seberang Perak yang dilaporkan menjadi projek komersial.
Mempersoalkan perkara itu, Tajuddin berkata sebelum ini projek perumahan tersebut diwujudkan bagi anak-anak Felcra.
“Macam mana boleh bertukar projek untuk membina (perumahan) peserta Felcra kepada projek komersial.
“Projek ini saya buat untuk anak-anak peserta Felcra. (Kalau) begini, saya nak minta pengurusan Felcra atau buang CEO (ketua pegawai eksekutif) dan ganti orang lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Timbalan Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (BN – Lipis) berhubung status projek perumahan terbabit.
Terdahulu, Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan lisan berkata projek perumahan generasi kedua Felcra Changkat Lada, Seberang Perak fasa 2 adalah merupakan sebuah projek komerisal membabitkan pembinaan 710 rumah.
Menurut Abdul Rahman, harga sebuah rumah yang dijual untuk projek itu dengan harga mampu milik daripada RM128,888 sehingga RM317,888 unit yang telah dimulakan pembinaan pada 2014.
“Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM100 juta. Di mana RM29 juta adalah peruntukan infrastruktur dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RM71 juta adalah peruntukan bagi pembinaan rumah dibiayai oleh Felcra Berhad,” katanya.
Projek berkenaan dijadual siap pada 2018 namun sehingga kini projek terbabit masih belum diserahkan oleh kontraktor Felcra Berhad.
Mengulas lanjut, Tajuddin meminta Abdul Rahman segera membetulkan balik status projek tersebut.
“Saya bagi “warning” (amaran) ini. Saya nak bertanding balik esok,” katanya secara berseloroh. -Malaysiapost

