TAN Sri Noh Omar mengumumkan menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Noh berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional(BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid atas pencalonan namanya sebagai Ahli Jawatankuasa PAC mewakili BN, semalam.
“Saya secara sukarela mengumumkan penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara berkuat kuasa serta merta untuk memberi perhatian lebih kepada Umno negeri Selangor.
“Perkara ini telah saya maklumkan kepada Pengerusi BN dan Speaker Dewan Rakyat semalam dan surat rasmi dihantar jam 10 pagi tadi,” katanya di Facebook.
Pengerusi Umno Selangor itu berkata, beliau berharap PAC akan terus memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan dengan lancar dan teratur.
Semalam, seramai 12 ahli Parlimen dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAC yang baharu.
Mereka ialah Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang); Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu).
Turut dilantik Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti); Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik) daripada Pas serta Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh).
Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut); Wong Shu Qi (DAP-Kluang) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah mengemukakan Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ke dalam Majlis Dewandengan ketetapan melantik ahli jawatankuasa PAC yang baharu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 76(2).
Pengerusi PAC Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timor) dan Naib Pengerusi Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) telah dipilih oleh Dewan Rakyat pada 27 Ogos lepas. -Malaysiapost

