Muhammad Mustakim Ramli
PRESIDEN Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan motif sebenar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan darurat.
Beliau berkata, daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin, terbukti Perdana Menteri tidak menikmati sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat yang melayakkan ke atasnya jawatan Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Barangkali, beliau dan Jemaah Menteri berasa resah dengan kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak dalam Parlimen. Ini akan menyebabkan Kerajaan PN tumbang dan Tan Sri Muhyiddin digugurkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Rata-rata di benak fikiran ramai, inilah sebab sebenar Kerajaan pimpinan Muhyiddin beriya-iya supaya darurat diisytiharkan. Bagaimanapun, hasrat ini tidak tercapai kerana “nasihat” itu ditolak oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, antara pegawai tinggi Kerajaan yang mengiringi Perdana Menteri menghadap Agong untuk mengesyorkan pengisytiharan darurat ialah Peguam Negara.
“Peguam Negara dipertanggungjawabkan di bawah Perlembagaan untuk menasihati Seri Paduka Baginda dan Kerajaan dalam perkara berkaitan undang-undang, dan sudah tentu beliau terlibat secara langsung mengenai pengisytiharan tersebut.
“Yang peliknya, saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal. Tiada pihak lain yang dinamakan sebagai defenden. Sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan, tentunya Peguam Negara akan mewakili Kerajaan untuk menjawab soalan yang ditimbulkan oleh saman tersebut.
“Tidakkah ini merupakan konflik kepentingan? Mana mungkin Peguam Negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat diisytiharkan kini mempertahankan di mahkamah keputusan Seri Paduka Baginda untuk menolak pengisytiharan itu?,” katanya.
Mukhriz berkata, saman pemula yang difailkan itu mempertikaikan kuasa Agong untuk menolak “nasihat” Perdana Menteri dalam soal pengisytiharan darurat.
“Saman itu mendakwa bahawa Seri Paduka Baginda tiada pilihan selain menerima bulat-bulat nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.
“Walhal penularan wabak Covid-19 tidak boleh diterima sebagai alasan dan Muhyiddin serta PN hanya mengharapkan darurat bagi menjamin kedudukan mereka di dalam Kerajaan,” katanya.-Malaysiapost

