DEWAN Rakyat memaklumkan semua kakitangannya adalah bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.
Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamis Samin, berkata perkara itu disahkan melalui ujian saringan yang dibuat ke atas kakitangan Parlimen yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 28 dan 30 Oktober lalu.
Katanya, ujian saringan itu membabitkan semua pegawai dan kakitangan parlimen termasuk Polis Bantuan yang bertugas di dalam Parlimen.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan itu turut membabitkan media rasmi dan Ahli Parlimen.
“Ada dua kes positif yang membabitkan petugas media dan seorang pegawai kepada Ahli Dewan Negara.
“Kedua-dua kes itu sudah diambil tindakan lanjut oleh KKM sejurus selepas keputusan ujian saringan diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Kamis turut menjelaskan, Parlimen mengambil pelbagai usaha serta persediaan yang sewajarnya untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
“Ia bagi memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan belanjawan yang akan diadakan pada Jumaat ini,” katanya. -Malaysiapost

