Isu kitab Injil: Nik Zawawi minta maaf guna perkataan ‘pesong’, ‘diubah’

0
1

Fitri Nizam

AHLI Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya yang mengatakan kitab Injil ‘dipesong’ ataupun ‘diubah’ pada sidang Dewan Rakyat lalu.

Justeru, Ahli Parlimen PAS itu turut menarik balik perkataan ‘dipesongkan’ ataupun ‘diubah’ yang mengguris perasaan penganut agama Kristian di negara ini.

Dalam permohonan maafnya, Nik Zawawi berkata beliau tidak berniat untuk memburukkan mana-mana agama.

“Niat saya adalah hendak pertahankan kitab Injil asal yang diturunkan kepada Nabi Isa, tanpa ada sebarang perubahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zawawi sebelum ini membuat kenyataan itu ketika perbahasan rang undang-undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol.

Kenyataan itu mengundang bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini membuat ketetapan hujah “spontan” Zawawi itu, memakai perkataan “dipesongkan” dan “diubah”, memberi kesan kepada penganut Kristian.

“Bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk, saya memohon dan meminta Pasir Puteh meminta maaf dan menarik balik kedua-dua perkataan tersebut,” katanya. – Malaysiapost