PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) bagi menangguhkan pilihan raya ketika Covid-19 tidak sesuai dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan juga memerlukan sokongan dua per tiga ahli Parlimen.
“Pihak kerajaan boleh mencadangkan penangguhan suatu pilihan raya sekiranya pandemik ini difikirkan boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan RUU bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan ketika penularan pandemik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, pilihan raya umum tidak sesuai diadakan sekarang ketika negara masih bergelut dengan penularan Covid-19.
Katanya, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dipinda untuk memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menghalang pilihan raya diadakan bagi tujuan kesihatan awam.
Justeru, Dr Noor Hisham berharap cadangan meminda Akta 342 dapat disegerakan. -Malaysiapost

