SOP perayaan Deepavali dikeluarkan minggu ini – Ismail Sabri

0
1

Nurul Huda Abhar

DRAF pertama berhubung pembentangan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan Deepavali telah dilakukan kerajaan termasuk beberapa penambahbaikkan yang terperinci.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentangan cadangan tersebut telah dilakukan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique pada 30 Oktober lalu.

“Penilaian secara terperinci berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya percaya dalam sehari dua lagi kita dapat selesaikan dan akan diumumkan. Saya tahu ramai yang nak balik kampung bagi mereka dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, SOP mungkin berbeza untuk beberapa lokaliti tertentu berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan untuk kawasan tersebut.

Katanya, jika sebelum ini peraturan yang ditetapkan adalah sama bagi semua kawasan kerana seluruh negara dilaksanakan PKP.

“PKPD di beberapa lokaliti tertentu. Ada PKPB di tiga negeri dan PKPP di kawasan-kawasan lain. Jadi kita kena lihat secara terperinci.

“Dalam minggu ini kita akan umumkan (SOP) kerana Deepavali akan disambut pada 14 November ini,” ujarnya. – Malaysiapost