KETUA Penerangan Umno, Shahril Hamdan mencadangkan kerajaan melaksanakan skim jaminan pekerjaan atau Federal Job Guarantee Scheme/Job Bank.
Katanya, melalui skim itu kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk mengambil lebihan bekalan buruh (idle labour supply) dan menggaji mereka bagi melaksanakan aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat dimahukan.
Berikut adalah contoh-contoh dinyatakan beliau:
1. Infrastruktur. Berapa banyak sekolah yang perlu baik pulih asas untuk menceriakan persekitaran pembelajaran? Kerja baik pulih sekolah-sekolah dan taman-taman permainan di serata negara.
2. Kasih dan teman. Mengapa hanya pesakit T20 mampu bayar untuk jururawat swasta manakala B40 terpaksa bergantung kepada ahli keluarga yang mungkin terpaksa berhenti kerja? Berapa kali kami orang UMNO dan pengamal politik nampak perkara ini depan mata kita di PRK atau di kawasan masing-masing? Kerajaan latih dan sediakan tenaga buruh untuk menjaga golongan sakit dan tua di rumah masing-masing.
3. Alam sekitar. NGO-NGO perlu lebih banyak tenaga kerja untuk pembersihan pantai? Kerajaan sediakan “individu-individu” tersebut.
4. Digitalisasi. Berapa banyak perpustakaan hatta agensi Kerajaan di negara ini yang masih menggunakan sistem pemfailan manual? Bayangkan dengan tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen tertentu – baik dari segi indexing mahupun mendigitalisasi peta (contoh ini saya cilok dari buku The Deficit Myth yang wajar dibaca semua).
5. Penterjemahan. Berapa banyak karya dan ilmu yang wajar diterjemahkan kepada Bahasa Kebangsaan? Berapa banyak karya dan ilmu yang wajar diterjemahkan daripada Bahasa Kebangsaan kepada Bahasa Inggeris supaya mendapat capaian lebih luas? Berapa ramai pakar penterjemah di Institut Penterjemah dan Buku Malaysia (ITBM) yang kerjanya akan dipermudah dan dipercepat andai mendapat draf kasar dari saya atau anda?
6. Pendidikan. Mungkin tiada keperluan mendesak menambah guru. Tetapi berapa kali kita dengar keluhan tenaga pengajar bahawa mereka dibebani tugasan kertas kerja atau “administrative tasks”? Kerajaan sediakan tenaga kerja pembantu guru di seluruh negara.
7. Kesihatan mental. Isu ini sering tidak mendapat perhatian mungkin kerana budaya kita, tetapi statistic menunjukkan masalah kemurungan, keseorangan dan pelbagai cabaran psikologi lain semakin menular di dalam sistem kapitalisme moden. Ada NGO yang membantu seperti Befrienders dan sebagainya – saya yakin mereka tidak akan menolak tambahan tenaga kerja terlatih dan bergaji untuk membina rangkaian yang lebih luas seandainya kadang-kala ada orang yang hanya mahu seseorang mendengar masalahnya tanpa diadili.
Beliau seterusnya berkata, contoh-contoh itu belum termasuk yang lebih “berkelayakan” seperti tenaga kerja menyumbang kepada kepakaran teknologi hijau dan sebagainya.
“Contoh di atas hanya segelintir dari contoh aktiviti ekonomi yang mudah, tidak memerlukan kepakaran mendalam dan berunsur kemasyarakatan atau “social good” bukan bermotifkan keuntungan swasta atau “private good”.
“Maka ia juga contoh-contoh aktiviti ekonomi yang lazimnya tidak akan terlaksana melalui kebergantungan kepada sektor swasta.
“Tiada syarikat yang akan secara rela belanja untuk bersihkan pantai atau digitalisasi buku kecuali jika diberi kontrak oleh kerajaan – “pasaran” swasta tidak akan membeli aktiviti ekonomi yang berunsur “social good” ini.
“Saya atau anda tidak akan bayar untuk tenaga pembantu guru atau penterjemah buku orang lain yang tiada kena mengena dengan kita. Saya yakin anda yang membaca pun boleh memikirkan contoh lain,” katanya. – Malaysiapost
