Pejabat MB Selangor nafi Amirudin langgar kuarantin

0
1

PEJABAT Menteri Besar Selangor menegaskan Datuk Seri Amirudin Shari tidak melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah atau ‘Home Surveillance Order’ (HSO) seperti didakwa.

Setiausaha Sulit/Pegawai Khas beliau, Saifudin Shafi Muhammad, berkata ia selaras kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu bahawa individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin.

Katanya, Amirudin pulang dari Sabah pada 28 September dan terus menjalani saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR di KLIA2.

“Pada 29 September, keputusan ujian itu didapati negatif. Mengikut arahan Kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR.

“Tambahan pula, beliau turut diberi surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian itu.

“Namun atas prinsip kebertanggungjawaban, beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati dan bertanggungjawab, melebihi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifudin berkata, susulan kes pencemaran dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan pada 4 Oktober lalu, isu itu terpaksa ditangani dan diberikan perhatian oleh Amirudin.

Katanya, ia berikutan insiden terbabit menyebabkan 309,687 akaun membabitkan hampir 1.3 juta pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

“Atas atas prinsip akauntabiliti, beliau turut memaklumkan tindakan itu kepada orang awam melalui media sosial pada hari sama.

“Justeru mengikut fakta, undang-undang dan syor Kerajaan Persekutuan, wajarlah difahami bahawa Menteri Besar tidak melanggar sebarang bentuk Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah kerana surat pelepasan ekoran ujian negatif sudah diterima beliau pada 29 September lalu.

“Sejumlah tiga ujian saringan RT-PCR dijalankan dalam tempoh 14 hari bermula 28 September, 4 dan 9 Oktober, kesemuanya menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Beliau berkata, Amirudin sudah mengambil langkah berhati-hati sebagai tambahan kepada SOP disyorkan oleh KKM.

“Sangat wajar sekiranya perkara sebegini tidak dipolemikkan secara berlebihan sehingga menambah beban kerja PDRM, apatah lagi dalam keadaan ribuan anggota PDRM terpaksa menjalani kuarantin rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19 mutakhir ini.

“Sebagai masyarakat yang bijak, kita haruslah melihat kepada fakta dan undang-undang sebelum membuat sebarang dakwaan. Pejabat Menteri Besar Selangor memberikan jaminan bahawa Datuk Seri Amirudin Shari akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam memastikan keluhuran undang-undang terus dihormati dan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima kertas siasatan PDRM ke atas Menteri Besar, pagi ini.

Katanya, kertas siasatan mengikut Seksyen 15 dan 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu kerana Amirudin didakwa melanggar perintah kuarantin yang dikeluarkan KKM. – Malaysiapost