PENGELUARAN dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan melanjutkan moratorium pembayaran pinjaman secara bersasar antara cadangan dikemukan Umno untuk Belanjawan 2021.
Cadangan itu sebahagian daripada 130 syor dalam Memorandum Suara Rakyat oleh parti berkenaan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengetuai delegasi Umno, berkata jumlah pengeluaran caruman Akaun 1 boleh ditentukan oleh KWSP dan tidak semestinya RM10,000 seperti yang dicadangkan sebelum ini.
“Rakyat juga mahu bank melanjutkan tempoh pemberian moratorium secara automatik atau bersasar. Pada pandangan saya, secara bersasar lebih sesuai,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Pertemuan turut disertai Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu,Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kementerian Kewangan.
Ahmad berkata perjumpaan mereka bersama Tengku Zafrul selama satu jam setengah itu berlangsung dengan positif.
“Asyraf banyak beri cadangan daripada Pemuda (Umno) dan pengumpulan data daripada rakyat, manakala Zambry dan Noh pula masing-masing ada pengalaman sebagai bekas menteri besar dan bekas menteri.
“Sudah tentunya mereka beri maklumat penting dan cadangan untuk menteri kewangan mempertimbang sewajarnya untuk Belanjawan 2021.
“Saya fikir perjumpaan dengan semua pihak kaedah yang baik, dan diharapkan selepas ini untuk belanjawan akan datang, kita dipanggil sebulan sebelum dan bukannya seminggu sebelum seperti ini.
“Tempoh sebulan itu membolehkan pihak kementerian dapat meneliti cadangan yang dikemuka dengan baik,” katanya.
Mengenai moratorium bayaran balik pinjaman, katanya beliau berpandangan ia lebih sesuai diberikan secara bersasar berbanding secara automatik memandangkan negara ini terdiri daripada tiga kumpulan pendapatan iaitu golongan berpendapatan tinggi T20, sederhana M40 dan rendah B40.
Dalam pertemuan itu, Ahmad berkata turut dibangkitkan isu pengangguran dan inisiatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2020.
Katanya ketika ini terdapat 740,000 penganggur di negara ini dengan kadar pengangguran meningkat daripada kira-kira tiga peratus kepada 5.4 peratus akibat penularan wabak Covid-19.
“Ini bererti ada 240,000 penganggur baharu sejak Covid-19, jadi inisiatif untuk membantu mereka yang kehilangan kerja adalah amat penting selain membuka peluang pekerjaan baharu.
“Seramai 240,000 penganggur baharu ini amat tertekan kehidupan mereka,” katanya. -Malaysiapost

