Umno mahu kejujuran politik dalam kerajaan PN

0
1

Nurul Huda Abhar

KEPIMPINAN Umno ‘dibelasah’ dalam mesyuarat Kabinet kerana menyokong Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan melaksanakan darurat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Umno menjadi sasaran kerana Menteri-menterinya menyokong keputusan Majlis Raja Raja yang menolak pengisytiharan darurat dan kononnya Menteri Umno tidak mengamalkan ‘collective responsibility’.

“Itu sebabnya Biro Politik Umno cadangkan terma baru dan hitam putih. Umno mahu hubungan dalam Kerajaan PN berasaskan konsensus parti dan kejujuran politik.

“Pengalaman pahit di Sabah banyak mengajar. Apabila tiada kejujuran politik maka politiking berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Puad berkata, kemelut yang berlaku mengenai isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri menjadi sukar oleh kerana tiada kejujuran dalam politik.

Katanya, Umno sememangnya wajar diberi peranan dan peluang bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang telah dicadangkan.

Justeru, katanya, Umno tidak perlu apalogatik dan takut dituduh gila kuasa berikutan permintaan untuk mengisi jawatan tersebut.

“Dalam berniaga mesti ada ‘profit sharing’. Apatah lagi jika ada pihak yang menyediakan modal yang lebih besar. Mana adilnya kalau keuntungan dibahagi 80-20.

“Esok Parlimen bermula. Usul undi tidak percaya tidak berbangkit. Fokus sekarang ialah Bajet 2021. Dalam perutusan khasnya semalam (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) merayu ketepikan perbezaan politik dan utamakan rakyat.

“Muhyiddin tidak perlu berdolak dalik. Kalau ada “Kejujuran Politik” pasti ia akan diluluskan. Bola ditangan Muhyiddin,” ujarnya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Perdana Menteri menerima pandangan semua pihak termasuk pembangkang.

Pada masa sama, katanya, jika terdapat cadangan yang perlu dipinda tindakan pindaan harus dibuat kerana semua itu termaktub dalam kejujuran poilitik.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Muhyiddin berkata, belanjawan akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, 3 industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19, memulihkan ekonomi negara.

“Saya berharap, semua ahli parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. -Malaysiapost