Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu kena PKPD bermula lusa

0
1

Nurul Huda Abhar

TEMPOH perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Alor Setar tamat esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga hari ini menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh tujuh hari.

“Sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di penjara Alor Setar mulai esok,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sementara itu, seramai 261 tahanan di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah serta kakitangan telah disaring sehingga 30 Oktober, dan 56 tahanan didapati positif Covid-19.

Justeru katanya, bagi menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan tersebut bermula 3 hingga 16 November.

“PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini semua aktiviti keluar masuk ke kawasan pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” ujarnya. -Malaysiapost