PEMA tampil gesa pengeluaran Akaun 1 KWSP

0
1

SELEPAS pelbagai pihak meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran Akaun 1 KWSP, kini giliran Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) pula menggesa kerajaan berbuat demikian.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mempertimbangkan cadangan itu bagi meringankan beban rakyat.

Penasihatnya, Mohd Asna Amin, berkata kerajaan boleh menentukan jumlah pengeluaran yang dirasakan relevan sekali gus menjadi wang tambahan kepada rakyat ketika menghadapi krisis ekonomi pada hari ini.

“Rakyat hari ini berdepan dengan masalah ekonomi yang agak kritikal dan pengeluaran sejumlah amaun relevan untuk akaun satu milik mereka adalah langkah terbaik dalam memberi kelegaan kepada semua peringkat masyarakat.

“PEMA sedia maklum bahawa langkah pengeluaran akaun satu berkenaan bukanlah langkah tunggal yang boleh difikirkan oleh kerajaan namun ia perlu buat masa ini terutama bagi pekerja yang berdepan dengan bebanan hutang.

“Pastinya kerajaan PN pada hari ini prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat sekali gus Perdana Menteri serta Menteri Kewangan (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dapat memikirkan mekanisme untuk pengeluaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya melihat bahawa tidak ada yang mustahil untuk dilaksanakan pada waktu ini terutamanya bagi menyantuni rakyat yang kian terhimpit dengan masalah kewangan.

Pada masa sama, PEMA juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan kembali moratorium pukal selama enam bulan iaitu sehingga April 2021 bagi memberi keringanan kepada beban rakyat.

“Pelaksanaan kedua-dua langkah itu juga dapat merancakkan ekonomi tempatan dengan memberi ‘kuasa beli’ yang lebih kepada rakyat sekali gus langkah berkenaan dapat membantu industri pertalian yang lain seperti Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) yang sangat terjejas.

“PEMA sangat mengharapkan supaya kerajaan menimbangkan cadangan daripada beberapa pihak untuk mengutamakan kebajikan rakyat ketika krisis pandermik Covid-19 ini,” katanya.
-Malaysiapost