PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang memberi peluang kepada peminat untuk mengundi logo terbaik dalam kalangan 570 penyertaan bagi pertandingan mencipta logo dan nama baharu skuad tok gajah.

Menerusi kenyataan di Facebook, Pahang FA memaklumkan daripada jumlah itu, pihaknya menerima 563 penyertaan mencipta logo dan nama manakala tujuh lagi hanya memberikan nama sahaja.
“Setiap rekaan dipilih dan disaring dengan teliti oleh panel yang dilantik. Ciptaan dan reka bentuk logo adalah baharu, asli dan tidak mengandungi unsur yang boleh dianggap sensitif dan menyinggung mana-mana agama, budaya serta kepercayaan.
“Logo yang dihasilkan perlu menggambarkan ciri-ciri patriotisme dan semangat Pahang serta menggambarkan kesatuan rakyat Pahang yang unik serta had penyertaan setiap individu,” katanya.
Pertandingan itu berakhir pada 10 oktober lalu dan peminat kini boleh mengundi melalui laman web rasmi, aplikasi dan media sosial rasmi Pahang FA bermula 4 petang ini.
Undian akan ditutup pada 5 petang 1 November 2020 dan pemenang akan membawa pulang wang tunai RM4,000 bagi kategori cipta logo dan RM4,000 lagi untuk kategori cipta nama baharu.
Selain itu, mereka akan menerima hadiah tambahan berupa penginapan percuma di hotel terpilih dan barangan sukan. – Malaysiapost

