Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN memberi jaminan anggota keselamatan masih mencukupi walaupun terdapat laporan ramai dijangkiti Covid-19 serta dikuarantin kerana pandemik berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau mengambil maklum berhubung perkara berkenaan dan sudah bersedia menanganinya.
“Jika ada kekurangan di sesuatu kawasan… kita akan bawa tambahan dari kawasan-kawasan lain. Setakat ini kita masih mampu dan tidak berdepan bermasalah.
“Kita masih cukup anggota. Rakyat tidak perlu bimbang walaupun terdapat kes seperti ini kita masih bersedia dan mampu menambah anggota untuk menggantikan mereka yang terbabit dengan Covid-19,” katanya menerusi sidang media harian.
Beliau berkata demikian selepas ditanya media mengenai terdapat laporan anggota keselamatan dijangkiti dan dikuarantin kerana Covid-19, di mana jumlah di sesuatu kawasan adalah ramai.
Sebelum ini dilaporkan, lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif jangkitan Covid-19.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah kepada wabak Covid-19 kerana mereka berada paling hampir dengan rakyat, yang belum dipastikan tahap jangkitan.-Malaysiapost

