PKPB Kampung Padang Che Mas ditamatkan

0
1

Muhammad Mustakim Ramli 

KERAJAAN memutuskan untuk tidak menyambung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Kampung Padang Che Mas di Baling, Kedah dan ia akan berakhir esok. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu diambil selepas hasil saringan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada lagi kes baharu positif Covid-19 di kawasan berkenaan sehingga semalam. 

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah bermula 18 Oktober 2020 sehinggalah 31 Oktober 2020 

“Sehingga 29 Oktober, melalui ujian saringan dilaksanakan, KKM mengesahkan tiada kes positif Covid-19 baharu yang direkodkan di kampung ini. 

“Sehubungan itu, sidang khas hari bersetuju untuk menamatkan PKPB Kampung Padang Che Mas pada 31 Oktober 2020 sebagaimana yang telah dijadualkan,” katanya menerusi sidang media harian. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 553 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan PKPP, semalam. 

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 532 individu telah dikompaun dan  21 individu lagi pula direman. 

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuklah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan sebanyak 165 kes; tidak memakai pelitup muka (153); penjarakan fizikal (87); premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (37); aktiviti pusat hiburan (18)  dan lain-lain (93),” katanya. – Malaysiapost