PROSES pembersihan pencemaran minyak enjin di alur air dekat Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong di Selangor selesai sepenuhnya lewat malam tadi.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan kerja pembersihan itu dilakukan dengan menggunakan kontraktor panel pembersihan agensi berkenaan dan selesai kira-kira jam 11.30 malam.
Katanya, pihaknya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) bekerjasama dalam kerja pembersihan sisa minyak enjin yang ditemukan di alur Sungai Balak.
“Selepas mendapat pengesahan di tapak oleh pegawai LUAS, kerja pembersihan hanya perlu dilaksanakan secara manual oleh pekerja awam memandangkan kuantiti minyak yang sedikit.
“Justeru, pihak LUAS menggunakan kontraktor panel pembersihan LUAS bagi menjalankan kerja pembersihan di tapak kejadian.

“Kontraktor panel LUAS melaksanakan kerja-kerja pembersihan minyak enjin dan berdasarkan laporan, kerja-kerja pembersihan sudah selesai sepenuhnya sekitar jam 11.30 malam tadi,” katanya seperti dilaporkan BH.
LUAS turut memaklumkan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk kesan di Sungai Balak dan Sungai Langat.
Terdahulu, LUAS menerima aduan pencemaran minyak hitam dalam alur air di lokasi terbabit daripada orang awam pada jam 6 petang kelmarin.
Hasil siasatan mendapati bahan pencemaran tersebut seperti sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur air. – Malaysiapost


