Contohi akhlak mulia Rasulullah satukan umat

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mahu akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli politik bersatu padu dan menyokong usaha kerajaan mengatasi penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin bertitah, ahli politik perlu bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

“Rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak Covid-19.

“Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara,” titah baginda dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Baginda bertitah, umat Islam perlu terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah iaitu al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan harian.

“Nabi Muhammad seorang insan mulia dan agung. Baginda adalah anugerah Allah kepada umat manusia di muka bumi ini.

“Baginda Rasulullah adalah khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia mengenai persaudaraan, akhlak mulia serta erti kehidupan sebenarnya,” titah baginda. – Malaysiapost