KHABIB Nurmagomedov mengisytiharkan ‘misi tercapai’ selepas mendarat di Russia.
Jaguh Rusia yang memenangi pertarungan UFC 254 itu telah mengumumkan persaraan sejurus kemenangan mengatasi Justin Gaethje.
Memetik laporan Agensi, dalam suasana penuh emosi di Fight Island, Khabib memberitahu mengenai keputusan yang diambilnya ketika tiba di tanah air.
Beliau berkata, hari ini dia berada di kedudukan nombor satu, jadi misi sudah tercapai.
“Apa lagi yang boleh dibuat di sana? Buat duit? Saya sentiasa boleh melakukannya.
“Setiap orang bertindak dengan cara berbeza. Sudah tentu Dana (White) mahu saya terus bertarung dan menjana pendapatan.
“Saya boleh buat duit sendiri. Saya berada di puncak karier tapi saya membuat keputusan ini dan saya rasa ini adalah yang terbaik buat saya.
“Tidak semua orang boleh bersara apabila berada di puncak tapi saya tahu dalam setahun, dua atau lima, saya perlu berdepan keputusan itu sekali lagi.
“Sudah cukup apa yang saya lakukan dalam sukan ini untuk bergelar yang terbaik,” katanya.
Khabib berkata, dia mengambil keputusan bersara selepas berjanji dengan ibunya bahawa ia menjadi pertarungan terakhir tanpa ayahnya Abdulmanap yang sentiasa memberi bimbingan. -Malaysiapost

