SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun digesa untuk memastikan anggota baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilantik ketika sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata jawatankuasa itu tidak dapat menjalankan tugasnya sehingga kini kerana anggota baharu masih belum dilantik.
Selepas pertukaran kerajaan pada Mac, lima anggota PAC menjadi menteri atau timbalan menteri.
Kah Woh dilantik sebagai pengerusi pada Ogos, bersama dengan wakil Bersatu, Datuk Azizah Mohd Dun sebagai timbalan.
Bagaimanapun, kekosongan untuk keanggotaan PAC yang lain masih belum dapat diisi, dan jawatankuasa tersebut tidak pernah bermesyuarat sejak Mac.
“PAC perlu menebus semula waktu yang hilang,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menurut Kah Woh, beberapa minggu lalu, beliau bersama Sekretariat PAC telah berbincang berkenaan kes-kes tertangguh dan mengatur jadual untuk bermesyuarat sejurus selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli baharu.
Taklimat pertama yang dijadualkan adalah pada 3 November iaitu hari kedua sesi ini, dan disambung dengan urusan-urusan yang lain.
“Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama Parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua,” katanya.
Tambah Kah Woh, beliau sudah menulis surat kepada kepada Azhar minggu lalu untuk menggesa melantik anggota PAC baru.
Bagaimanapun, berdasarkan draf aturan mesyurat sidang parlimen Isnin ini, tiada disebutkan tentang pelantikan ahli PAC. – Malaysiapost

