Tok Mat minta kerajaan pertimbang bantuan tambahan kepada B40, M40

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

Muhammad Mustakim Ramli

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban.

Katanya, golongan paling terkesan ketika ini adalah yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan/Bersyarat (PKPD/PKPB) .

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, itu berkata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam laporan terbarunya telah menurunkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.

“Penurunan unjuran ini adalah berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan kembali PKPB serta tiadanya langkah-langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Rentetan dari itu, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban,” katanya menerusi Facebook.

Mohamad berkata, pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini.

“Inisiatif Program Penjana juga perlu dilanjutkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.

“Kedua, gelombang ketiga Covid-19 kini dijangkakan akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021. Justeru, saya berharap Kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi berikutan Vietnam dijangka akan memintas negara pada 2020 untuk menjadi ekonomi ke-4 terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini untuk pelaburan.

Katanya, usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan ‘economic recovery and reseting’ dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan di permudahkan lagi.

“Ketiga, keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada.

“Setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan.

“Maka, saya berharap Kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian SOP pada saat terakhir,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.

“Setiap peringkat amaran ini mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutamanya dari segi SOP di tempat kerja.

“Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja,” katanya.

Mohamad berkata, beliau mengulangi pendirian bahawa pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan negara. -Malaysiapost