Piala Malaysia: FAM sokong keputusan MFL

0
2

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi sokongan penuh kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai penganjuran Piala Malaysia musim ini.

Setakat ini belum ada tarikh baru penganjuran Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 6 November susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Sebelum ini, tarikh asal kejohanan tertua di Asia itu adalah pada 25 Oktober lalu, namun dipinda susulan PKPB pada 14 Oktober sehingga 27 Oktober.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata sekiranya MFL meletakkan tuntutan kewangan dan komersial sebagai keutamaan, maka pihaknya akan memberikan sokongan sepenuhnya.

“Hal ini bukan sahaja berkaitan isu bola sepak dan keselamatan sahaja, tetapi isu kewangan dan komersial juga perlu dipertimbangkan secara menyeluruh.

“Saya tidak tahu kandungan kontrak di antara penaja dan MFL tetapi MFL pastinya akan membuat pertimbangan terhadap semua aspek.

“Bukannya MFL tidak mendengar rayuan daripada pasukan-pasukan (yang menyarankan supaya Piala Malaysia musim ini dibatalkan) kerana ada juga yang mahu menganjurkannnya,” katanya seperti dilapor Stadium Astro.

Walaupun jangkitan baharu Covid-19 sudah mencecah empat angka ketika ini, MFL bertegas untuk meneruskan saingan Piala Malaysia edisi kali ini. -Malaysiapost