30 pondan berkebaya sambut hari jadi diberkas

0
2

SERAMAI 30 pondan ditahan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selepas menyertai majlis sambutan hari jadi yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Darulaman, Jitra, malam tadi.

Kesemua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu berpakaian wanita seperti gaun dan berbaju kebaya ketika ditahan.

Malah, dalam serbuan jam 10.30 malam itu, majlis hari jadi itu juga turut dihadiri ramai tetamu termasuk wanita dan warga emas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berhubung majlis berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi dengan beberapa anggota polis sebelum mendapati ramai tetamu di ruang hotel berkenaan.

“Bagaimanapun, kami meminta mereka yang tidak berkenaan bersurai dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 30 lelaki yang berpakaian wanita dan disyaki pondan.

“Bagaimanapun mereka tidak ditahan, sebaliknya hanya diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) pada tarikh ditetapkan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kesemua pondan berkenaan didapati menetap sekitar daerah ini, selain ada yang berasal dari Selangor dan negeri lain.

“Kesemua pondan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, penganjur itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 31 enakmen sama kerana menggalakkan maksiat. -Malaysiapost

Foto Kredit: NTSP