BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membuat laporan polis terhadap seorang lelaki dipercayai menyebarkan dua video yang disifatkan menfitnah dan menjatuhkan maruah dirinya.
Musa berkata, ia berikutan dua video klip yang tular di media sosial, dipercayai dimuat baik lelaki terbabit di Pulau Pinang baru-baru ini yang didakwa berniat memfitnah dan menjatuhkan maruah beliau sebagai bekas Ketua Polis Negara.
Video terbabit turut menyasarkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Saya telah mengambil tindakan perundangan yang perlu dengan melaporkan perkara ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.
“Saya juga telah sertakan beberapa bahan bukti yang membuktikan tuduhan jahat ke atas diri saya adalah tidak benar dan berniat jahat untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Musa berkata, kes kini dalam siasatan polis dan beliau menyeru orang ramai agar tidak ghairah untuk turut menularkannya.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan hak undang-undang saya untuk mengenakan apa jua tindakan perundangan yang sesuai ke atas mana-mana orang yang terus menyebarkan bahan fitnah tersebut dan membuat tanggapan kepada orang ramai seolah seperti mana yang didakwa oleh kedua-dua video klip tersebut,” katanya. -Malaysiapost

