Muhammad Mustakim Ramli
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang bermula esok sehingga 10 November depan.
Menteri (Kanan) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sehingga 24 Oktober lalu, saringan yang dijalankan di Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 di daerah Kuala Langat didapati 42 daripada 1,044 individu yang menjalani saringan didapati positif Covid-19.
“Di Plaza Hentian Kajang daripada 909 individu disaring, 63 individu positif Covid-19. Sehubungan itu kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan bermula esok sehingga 10 November,” katanya menerusi sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, seramai 1,300 penduduk Flat Sungai Emas dan 7,500 penduduk di Plaza Hentian Kajang terbabit dalam pelaksanaan PKPD berkenaan.
Beliau turut memaklumkan PKPD dilaksanakan di Kampung Haji Baki, Kuching bermula esok sehingga 10 November depan.
“Sehingga semalam, sebanyak 845 individu disaring dan 27 orang didapati positif. Pelaksanaan PKPD di Kampung Haji Baki ini merangkumi 532 unit rumah membabitkan seramai 4,191 penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Reman Pulau Pinang yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 11 November ini.
Katanya, ini susulan sehingga semalam, sebanyak 4,196 sampel telah diambil dan sehingga kini masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan tahanan serta kakitangan penjara. – Malaysiapost

