SKMM, PDRM siasat cubaan cetus keraguan usaha kerajaan tangani Covid-19

0
2

Nurul Huda Abhar

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat cubaan pihak tertentu yang mempersoalkan kesahihan data rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan berkata, ia adalah perbuatan jahat untuk sengaja menimbulkan kekeliruan serta mencetus ketidakyakinan terhadap usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini memandang berat percubaan pihak tertentu yang mempersoalkan kesahihan data rasmi diumumkan KKM setiap hari.

“Kerajaan sejak awal menangani pandemik Covid-19 sentiasa memastikan data-data pihak KKM adalah sahih,” katanya.

Tambah Saifuddin, beliau memberi jaminan data daripada KKM yang disiarkan saluran-saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama adalah sahih.

Menurut beliau, rakyat perlu sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai dan berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

“Sekiranya terdapat keraguan terhadap kesahihan sesuatu berita atau maklumat, layari www.sebenarnya.my atau salurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) di talian 03-89115103,” ujarnya.

Terdahulu, KKM menafikan terdapat manipulasi data kes Covid-19 di negara ini seperti dakwaan sesetengah pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata, data yang diperoleh pihaknya dikumpul pada jam 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem informasi dan maklumat kesihatan dari setiap negeri. – Malaysiapost