Muhammad Mustakim Ramli
PASANGAN suami isteri ‘hujung minggu’ yang ‘terhalang’ kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk berjumpa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat kebenaran perjalanan merentas negeri.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dijalankan ini sama seperti SOP PKPB yang diperkenalkan pada Mei lalu. Ia sama dan sudah dinyatakan sebelum ini.
“SOP suami isteri hujung minggu ini juga sama. Jadi sebelum balik (rentas negeri) jumpa polis terlebih dahulu kemukakan bukti, Insya-Allah polis akan benarkan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata SOP PKPB itu ada diterangkan secara terperinci di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Isu ini pernah timbul dulu, jadi kita benarkan. Apa-apa kekeliruan boleh merujuk semula di laman sesawang MKN, apa yang dibenarkan apa yang tak boleh sudah dijelaskan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada suami atau isteri ‘jarak jauh’ boleh merentas dari atau ke negeri yang menjalani PKPB untuk berjumpa. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan

