MULAI 1 November ini, warga Putrajaya boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma yang disediakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).
Sebanyak 40 bas percuma disediakan bagi tujuan itu menerusi inisiatif Wilayah Prihatin KWP bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Laluan perkhidmatan bas itu bermula di Kompleks E (T500) melalui Kompleks-kompleks kerajaan sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga Dataran Gemilang Presint 4.
Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak bermula 6.30 pagi sehingga 9 pagi dan 4 petang sehingga 6.40 petang.
Bas itu bergerak setiap 10 minit pada bukan waktu puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.
Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar berkata perkhidmatan itu akan bermula dengan 10 bas dan pengguna boleh mendaftar bagi mendapatkan kad percuma.
Caj RM1.50 pula dikenakan kepada warga asing bagi setiap perjalanan.
Katanya, kemudahan bas percuma itu membabitkan semua laluan bas Nadi Putra di bawah Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel &Tour Sdn Bhd (PAPTT) membabitkan 12 laluan sekitar Putrajaya.
“Perkhidmatan bas ini juga melalui 11 laluan kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Percuma di hentian bas Persiaran Perdana di Presint 2, Putrajaya hari ini.
Inisiatif itu membabitkan anggaran kos RM12 juta setahun. – Malaysiapost

