Nurul Huda Abhar
PELAKON Nonny Nadirah membuat pengakuan secara rasmi bahawa perkahwinannya yang dirancang terpaksa dibatalkan.
Nonny, 31, menjalinkan hubungan cinta dan merancang untuk bernikah dengan pelakon, Niezam Zaidi, 28, namun hasrat kedua-duanya terputus ditengah jalan.
Menerusi perkongsiannya di laman sosial Instagram (IG), pelakon kelahiran Sabah itu membuat catatan mengenai pembatalan itu namun tidak menjelaskan lebih lanjut sebab keputusan itu diambil.
“Sekadar makluman, selepas mengambil kata sepakat, perkahwinan antara kami sudah pun dibatalkan. Satu saja kami minta, tolong doakan kebahagiaan buat kami dan bertemu jodoh yang baik buat masing-masing ya.
“Sesungguhnya, kami hanya mampu merancang tapi Allah itu sebaik-baik perancang. Kepada rakan media, maaf saya tidak dapat nak bagi maklum balas dengan anda semua. Pada masa ini, ‘I reserve my comment’. Harap anda semua faham,” tulisnya semalam.
Dalam hantaran yang sama, pelakon ‘Cucuk Sanggul Seroja’ itu memuat naik satu video sedang menikmati makanan sushi bersama Niezam.
Nonny membuat ucapan hari lahir kepada Niezam yang jatuh pada hari ini dan perkataan ‘sahabat’ turut ditulis bagi menggambarkan status hubungan mereka sekarang.
“Happy Birthday sahabat. Semoga Allah memberkati dan merahmati seluruh usiamu, dikurniakan kesihatan yang baik, dikayakan dengan iman, takwa dan harta.
“Semoga menjadi anak yang baik dan bertemu jodoh dengan orang yang baik- baik. Dikurniakan segala kebaikan, hajat dunia dan akhirat. Amin,” ucapnya.
Pasangan itu memberi bayangan bakal melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat dan telah menghadiri kursus perkahwinan pada pertengahan September lalu.
Niezam juga sudah berjumpa keluarga Nonny di Kota Kinabalu, Sabah pada Julai lalu, dan itu menguatkan spekulasi hubungan cinta mereka.
Bekas peserta program realiti televisyen itu mengakui mula menjalin hubungan istimewa dengan Niezam sejak tahun lalu dan mula mendedahkan kisah cinta mereka pada Jun lalu.
Nonny sebelum ini pernah berkahwin namun rumah tangga yang dibina bersama Mustain Adnan hanya bertahan setahun dan bercerai pada tahun lalu. – Malaysiapost

