Ismail Sabri nafi terlibat dalam cadangan bubar Parlimen

0
3

Nurul Huda Abhar

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan bahawa dirinya terlibat dalam cadangan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen.

Menteri Kanan (Keselamatan) tersebut mengakui beliau ada menghadiri mesyuarat khas Kabinet namun perbincangan mengenai pembubaran Parlimen tidak berlaku.

“Suka saya nyatakan tadi memang saya ada mesyuarat khas Kabinet, perkara mengenai pembubaran Parlimen tidak dibincangkan pun dalam Kabinet hari ini.

“Saya tidak boleh sebutkan tapi untuk menjawab perkara tersebut, ianya (pembubaran Parlimen) tidak dibangkitkan dan tidak dibincangkan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau menjawab soalan yang diajukan media berhubung satu tangkap layar yang tular hari ini menunjukkan perbualan dikatakan dirinya dalam aplikasi Whatsapp.

Dalam tangkap layar tersebut terdapat kenyataan namanya yang memberitahu akan mencadangkan Muhyiddin menghadap Agong supaya membubarkan Parlimen.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri juga memaklumkan kepada umum agar menyelidik terlebih dahulu kebenaran maklumat yang diterima.

“Kadang-kadang cerita yang seperti ini saya harap kita semua menapis dengan baik jangan terima bulat-bulat,” ujarnya. – Malaysiapost