Nilam Oshman
SEBANYAK 1,240 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, sekali gus yang tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 27,805 kes setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, Sabah terus mencatat kes baharu paling banyak dengan 927 dengan kes positif di Penjara Kepayan sebanyak 439.
Katanya, negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 194 kes, di mana 120 kes baharu ini adalah daripada kluster sedia ada dan baharu.
“Sejumlah 508 kes hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan (439 kes), Kluster Seberang Perai (57 kes), Kluster Benteng LD (7 kes), Kluster Penjara Tapah (empat kes) dan Kluster Tembok (satu kes),” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, manakala Selangor mencatatkan 176 kes, diikuti Pulau Pinang (61), Negeri Sembilan (25), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (17), Perak (lapan), Sarawak (tujuh), Labuan (lima), Johor (empat), masing-masing tiga kes di Terengganu dan Kedah serta dua kes di Melaka.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dari maklumat terkini dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 236 kes,” katanya.
Tujuh kematian yang dicatatkan itu dilaporkan di Sabah membabitkan empat warganegara dan tiga bukan warganegara – Malaysiapost

