Hormati mekanisme semak dan imbang – Syed Danial

0
2

MAJLIS Raja-Raja berpendirian pentingnya menghormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan, sekali gus membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Justeru, atas implikasi itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama lapan raja yang lain bertemu untuk membincangkan permohonan pengisytiharan darurat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Yang di-Pertuan Agong dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara itu dibincangkan secara bersama dengan Raja-Raja pemerintah.

Katanya, Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda memilih melakukan rundingan sebelum memberi sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan mengenai perkara yang sangat penting.

“Berpandukan prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, selain memahami keseriusan implikasi daripada permohonan itu terhadap imej negara, pandangan dunia, keyakinan pelabur dalam dan luar negara, aspek kemakmuran negara serta kehidupan rakyat jelata.

Dalam perjumpaan berkenaan, Raja-Raja mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka serta berterus-terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan yang membantu baginda membuat ketetapan.

“Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Raja-Raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara, mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Pada mesyuarat khas petang tadi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Raja-Raja mengenai keputusan Mesyuarat Khas Kabinet pada 23 Oktober lalu, yang memohon perkenan baginda untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost