Nasihat YDPA wajar dicermati, dihayati – Anwar

0
1

Fitri Nizam

PKR akan memastikan perancangan menangani malapetaka Covid-19, masalah pengangguran, kemiskinan dan penjanaan pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan terancang serta berkesan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu selaras dengan pendirian dan pandangan Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Katanya, nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya pimpinan politik termasuk Ahli Parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik wajar dicermati dan dihayati.

“Tokoh politik termasuk Ahli Parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, insitusi Parlimen serta negara.

“Agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan dan ketetapan bersejarah Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul Perdana Menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagan dan demokrasi berparlimen.

“Ia ternyata suatu ketetapan berlandaskan semangat perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti disuarakan oleh pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh akademik dan pihak media yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai,” katanya.

Kenyataan Anwar itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong hari ini, bahawa tiada keperluan pengisytiharan darurat dibuat bagi menangani Covid-19.

Bagaimanapun, dalam titah sama, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat, tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – Malaysiapost